Friday, September 13, 2013

MENULIS KARANGAN PMR DAN SPM



Karangan Berformat
Karangan dalam bahagian ini terdiri daripada syarahan, ucapan, ceramah, perbahasan, rencana, laporan, surat kiriman rasmi, surat kiriman tidak rasmi, wawancara, ulasan buku, cerpen dan drama.
Setiap bentuk karangan ini mempunyai ciri-ciri tersendiri, seperti berikut:

1. Perbahasan, ceramah, syarahan, ucapan
(menghadap majlis/kata alu-aluan, penghargaan kepada audien seperti ucapan tuan-tuan dan puan-puan, penutup)
2. Surat kiriman rasmi
(nama dan alamat pengirim, nama dan alamat penerima, tarikh, menghadap surat, tajuk, tandatangan)
3. Rencana, laporan, cerpen
(tajuk, nama penulis)
4. Wawancara
(pendahuluan, berbentuk dialog)
5. Ulasan buku
(judul buku, nama penulis, nama penerbit, nama pengulas)
6. Skrip drama
(judul drama, nama penulis, latar tempat/masa, dialog)

Karangan Tidak Berformat

Karangan tidak berformat merangkumi kategori penulisan yang berikut, iaitu perbincangan/bincangkan, perbahasan/bahaskan, ulasan, komen, fakta, pendapat, penjelasan/jelaskan, cadangan, gambaran/imaginasi.

MENULIS PENDAHULUAN KARANGAN

Jenis-jenis pendahuluan :-
(i) pendahuluan jenis definisi
(ii) pendahuluan jenis pendapat
(iii) pendahuluan jenis suasana
(iv) pendahuluan jenis persoalan
(v) pendahuluan jenis peribahasa


PENDAHULUAN JENIS DEFINISI ·

memberikan takrif · makna · definisi
Contoh : Jenayah ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang atau peraturan.Jenayah bukan sahaja membabitkan orang dewasa malahan golongan remaja juga. Menurut kajian polis, jumlah kes jenayah telah bertambah daripada 40 021 kes pada tahun 1997 kepada 43 210 kes pada tahun 1998 Di samping itu, kesalahan yang dilakukan juga semakin serius dari semasa ke semasa.


PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT -

menyatakan pendapat seseorang tokoh
Contoh : Menurut Y.A.B Datuk seri Dr. Mahathir Mohamad, pencemaran alam sekitar berpunca daripada kegiatan pembangunan. Walau bagaimanapun pembangunan tidak boleh dihentikan sama sekali. Apa yang perlu adalah dengan mengurangkan pencemaran tetapi dalam masa yang sama meneruskan pembangunan.

PENDAHULUAN JENIS SUASANA -

menggambarkan sesuatu melalui suasana yang sesuai.
Contoh : Bas yang berhawa dingin terus berlalu menyusur jalan yang bengkang-bengkok dengan perlahan sekali. Rasa mual dan mengantuk hilang apabila kami dihiburkan oleh abang-abang yang memandu kami . sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Fraser , sepasang anak mataku sempat mengintai hutan rimba yang akan kami lalui nanti.


PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN -

mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk
Contoh: Setiap orang memerlukan kecemerlangan untuk menjamin kejayaan bagi diri mereka. Apakah yang dikatakan kecemerlangan ? Apakah dengan kecemerlangan boleh membuatkan seseorang itu berjaya ? Apakah dengan berdiam diri sahaja tanpa sebarang usaha seseorang itu boleh mencapai kecemerlangan ? Soalnya , apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan ?


PENDAHULUAN JENIS PERIBAHASA -

memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.
Contoh: Peribahasa Melayu ' ringan sama dijinjing, berat sama dipikul' dan 'seperti aur dengan tebing ' amat sesuai ke arah mewujudkan masyarakat penyayang yang anggota-anggotanya mengamalkan sifat-sifat yang mengambarkan wujudnya hubungan kasih sayang dalam sesebuah komuniti.


MENULIS PERENGGAN ISI

Jenis-jenis perenggan:
- perenggan deduktif
- perenggan induktif
- perenggan gabungan induktif dan deduktif

PERENGGAN DEDUKTIF

isi penting huraian isi contoh-contoh
Contoh soalan : Laporan tentang punca-punca pelajar kurang berminat menggunakan perpustakaan sekolah. Punca pertama, walaupaun pihak perpustakaan telah cuba sedaya upaya mendapatkan buku-buku untuk kegunaan pelajar, tetapi kebanyakan buku yang disediakan sudah terlalu lama. Isi buku-buku tersebut sudah ketinggalan zaman dan tidak dapat memenuhi keperluan pelajar. lagipun terdapat banyak buku yang mengalami kerosakkan . Contohnya , masih tedapat buku-buku yang diterbitkab pada tahun 60-an dan 70-an. Isi Buku yang disediakan sudah terlalu lama Huraian Isi buku-buku tersebut sudah ketinggalan zaman dan tidak dapat memenuhi keperluan pelajar. Lagipun tedapat banyak buku yang mengalami kerosakkan. Sebagai ontohnya, masih terdapat buku-buku yang diterbitkan pada tahun 60-an dan 70-an.

PERENGGAN INDUKTIF

huraian isi contoh-contoh isi penting
Contoh soalan : Sebab-sebab berlakunya kemalangan jalan raya. Selekoh yang tajam , jalan berlopak, cahaya lampu, cahaya matahari, dan hujan juga merupakan punca terjadinya kemalangan jalan raya . Misalnya, jalan menuju ke Genting Highlandmempunyai banyak selekoh yang tajam dan berbahaya kepada pengguna jalan tersebut. Jelaslah kepada kita bahawa factor alam dan keadaan jalan raya itu sendiri juga merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini. Huraian Selekoh yang tajam , jalan belopak, cahaya lampu, cahaya matahari, dan hujan juga merupakan punca terjadinya kemalangan jalan raya. Contoh Misalnya, jalan menuju ke Genting Highlands Isi Jelaslah kepada kita bahawa faktor alam dan keadaan jalan raya itu sendiri juga merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini.


PERENGGAN GABUNGAN INDUKTIF DAN DEDUKTIF

isi penting huraian isi contoh-contoh isi penting
Contoh Soalan: Mengatasi masalah inflasi. Akhirnya, usaha yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah ini ialah melalui kempen. Kempen yang dijalankan secara bersungguh-sungguh serta mendapat sokongan daripada semua pihak sudah tentu akan memberi kesan dan kesedaran yang positif kepada para pengguna. Misalnya , dengan menghidupkan semula laungan, "Belilah Barangan Buatan Malaysia". Oleh itu, kempen –kempen yang terancang hendaklah dilaksanakan dengan kadar yang segera agar pengguna dapat disedarkan daripada lena yang panjang. Isi Akhirnya, usaha yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah ini ialah melalui kempen. Huraian Kempen yang dijalankan secara bersungguh-sungguh serta mendapat sokongan daripada semua pihak sudah tentu akan memberi kesan dan kesedaran yang positif kepada para pengguna. Contoh misalnya , dengan menghidupkan semula laungan, "Belilah Barangan Buatan Malaysia". Isi Oleh itu, kempen-kempen yang terancang hendaklah dilaksanakan dengan kadar yang segera agar pengguna dapat disedarkan daripada lena yang panjang.

MENULIS PERENGGAN PENUTUP -

Kesimpulan mestilah lembut tetapi berkesan -
Jangan mengulangi isi-isi yang telah dikemukakan -
Gunakan penanda wacana yang sesuai

Contoh :-

(i) Kesimpulannya, kita perlulah berhati-hati apabila menerima kedatangan pekerja asing kerana pelbagai masalah sosial yang dibawa oleh mereka. Mereka seharusnya ditapis sebelum diterima bekerja di sini.

(ii) Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menjadi pengguan yang bijak dan bergabung tenaga untuk membanteras inflasi.Ini sejajar dengan wawasan Perdana Menteri kita yang berkeyakinan bahawa inflasi di Malaysia boleh mencapai nilai 0%.

(iii) Jelaslah kepada kita bahawa semua pihak memainkan peranan yang penting dalam usaha membantu kerajaan membendung masalah inflasi merupakan masalah kita bersama. Masalah inflasi tidak akan menjadi gawat dan membimbangkan sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran.

(iv) Natijahnya, sektor perindustrian bukan sahaja mendorong pertumbuhan ekonomi Negara malah mengembleng tenaga belia ke arah penerokaan suatu bidang baru . Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya harus diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung pelbagai masalah negatif dalam sektor ini untuk menjamin keutuhan dan kejayaannn sektor perindustrian di Malaysia.

(v) Pada keseluruhannya, lawatan sambil belajar itu sungguh berjaya. Menurut beberapa orang ahli yang ditemu ramah, mereka sedar bahawa kegiataan penubaan ikan merupakan satu cara yang tidak bermoral. Sebaliknya , penternakan ikan di dalam sangkar perlu digalakkan bagi mendapatkan hasil yang lumayan di samping dapat mengelakkan keracunan dan pencemaran sungai.

PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :

Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :
1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.

PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.
1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan

PERENGGAN PENGENALAN :
Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.

AYAT RANGSANGAN :
Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.
(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.
(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.
(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.

AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Ayat arah :
Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.

PERENGGAN ISI :
1. APAKAH AYAT TOPIK ?
Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topik mempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.

2. APAKAH AYAT HURAIAN ?
Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.

3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :
1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.

4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
Contoh peribahasa/ ungkapan yang boleh digunakan:
1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.

PERENGGAN PENUTUP :
Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.

JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:
1. Ayat kesimpulan umum
2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup

Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.
Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

Ayat pendapat : Kesan peperangan.
Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

Ayat cadangan : Kesan peperangan.
Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

Ayat komen : Ulasan cerpen.
Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

Ayat penilaian : Kesan peperangan.
Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.
Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ayat Penutup: Kesan peperangan
Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kalah jadi abu, menang jadi arang.

Rujukan:
1. Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, DBP.
2. Abdul Ghalib Yunus ; Dr Ghazali Lateh, Esensi Bahasa Malaysia SPM, Longman.

Blog Yang Popular - Marilah Belajar

BAHASA MALAYSIA

BAHASA INGGERIS

SCIENCE

MATEMATIK

Kandungan E Learning Portal

kEMAHIRAN HIDUP

BAHASA CINA

PERDAGANGAN

Labels

BIOLOGI

FIZIK

KIMIA

SELAMAT BELAJAR

Kitaro Music