Syarahan: Faedah-faedah Kitar Semula.
Hadirin sekalian,
Pelbagai bahan terbuang seperti tin minuman, surat khabar dan sebagainya boleh dikitar semula menjadi bahan atau alat yang berguna. Oleh yang demikian, kita seharusnya tidak membuang bahan-bahan yang telah digunakan tersebut begitu sahaja untuk mengelakkan pembaziran. Bekas yang diperbuat daripada plastik, kaca atau alaminium yang telah digunakan boleh dikumpul dan dijual semula untuk diproses menjadi bahan baharu.
Apabila bahan-bahan terbuang dapat dikitar semula, secara tidak langsung akan juga dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Ini akan dapat mengurangkan sampah sarap yang berbau busuk berlonggokan di sana-sini yang menyakitkan mata. Kesannya alam sekitar kita menjadi lebih bersih, berudara segar dan dapat mengurangkan masalah kesihatan kita semua.
Hadirin sekalian,
Kitar semula juga dapat menambah pendapatan kita. Dengan menjual kertas, surat khabar lama, tin minuman, botol kaca dan botol plastik, sedikit sebanyak akan membantu menampung perbelanjaan kita seharian.
Selain itu, kitar semula juga dapat mengatasi masalah penggunaan kawasan yang luas bagi tujuan perlupusan sampah-sarap. Dengan kitar semula, kita dapat menjimatkan ruang kawasan perlupusan sampah. Kawasan itu sebaliknya boleh dibangunkan untuk perkara lain seperti dijadikan kawasan perumahan dan sebagainya.
Oleh sebab itu, saya menyeru kepada semua pihak agar tidak membuang barang-barang yang terpakai masing-masing begitu sahaja. Kita mestilah bekerjasama mengitar semula bahan-bahan yang kita telah digunakan dengan mengumpul barang-barang tersebut supaya dapat dikitar semula menjadi bahan yang lebih berfaedah serta dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Sekian, terima kasih.